[PANDANGAN RUSTAM, Mingguan Siasah, Bil. 76: 9 Disember 2007]Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, baru-baru ini menjelaskan kepada portal berita Malaysiakini.com bahawa sebenarnya tidak wujud sebarang perbincangan belakang tabir antara dua parti itu bagi membentuk kerjasama dalam menyelesaikan isu politik Melayu-Islam sejak akhir-akhir ini.
Desas desus tentang inisiatif yang demikian memang telah beredar dengan agak kencang akhir-akhir ini, dan sebagaimana yang sewajarnya sebarang berita tentang kerjasama di antara PAS dan Umno – baik secara terbuka maupun di belakang tabir – akan selalu menarik perhatian umum, dan cukup mengasyikkan.
Dalam kerangka pemikiran politik perkauman (atau politik tawar menawar antara kaum) yang dominan di negara ini kini, maka saya kira tentulah banyak di kalangan mereka yang berfikir dalam kerangka gagasan “hegemoni Melayu” (ketuanan Melayu) – baik dalam Umno maupun PAS – yang akan berasa sungguh senang dengan perkembangan tersebut.
Hubungan yang mesra di antara dua parti Melayu yang besar dan utama itu, dalam kerangka pemikiran mereka, hanya mungkin membawa erti bertambah mantapnya “kesepaduan Melayu.” Dan bertambah mantapnya kesepaduan Melayu hanya mungkin membawa erti suatu kelebihan, suatu advantage, dalam percaturan politik tawar menawar antara kaum yang mencirikan politik negara ini.
Namun dalam sejarah semasa politik negara, ini bukanlah kali pertama perundingan PAS-Umno seperti ini pernah diusahakan. (Malah perlu diingat bahawa dalam kerangka sejarah yang lebih panjang PAS pada suatu masa dulu pernah duduk bersama Umno dalam gabungan Barisan Nasional (BN)).
Namun, perundingan seperti yang diperkatakan dalam desas desus kali ini selalunya didasarkan bukanlah pada usaha memperjuangkan sebarang gagasan muluk dan jangka panjang isu “perpaduan” Melayu-Islam, apa lagi sehubungan kemantapan masa depan negara, tetapi demi kepentingan jangka pendek pihak-pihak yang terlibat itu dalam kerangka politik pilihanraya.
Sejak kemerosotan sokongan Melayu yang dialami Umno dalam pilihanraya pasca-reformasi pada tahun 1999 lagi, Mahathir Mohamad dengan gigihnya telah berusaha untuk merapatkan hubungan PAS-Umno itu. Dia tidak jemu-jemu membuat pelbagai overtures (risikan) terhadap Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu.
Agak menarik juga dicatatkan bahawa pada waktu itu tokoh PAS yang kelihatannya paling giat terlibat dalam merundingkan usaha merapatkan dua parti itu ialah Nasharuddin Mat Isa (Setiausaha Agung), dan kini orang yang sama juga tampaknya paling terlibat dalam usaha tersebut (dalam kedudukan barunya sebagai Timbalan Presiden PAS).
Kemuncak kejayaan inisiatif mengadakan kerjasama PAS-Umno itu ialah suatu perhimpunan “kesepaduan Melayu” yang telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Perhimpunan itu dianjurkan secara bersama oleh DBP dan ABIM, dengan “masalah Palestin” sebagai temanya.
Dalam perhimpunan itu Presiden PAS, Fadzil Noor, bertindak sebagai “penyampai ceramah” tentang sejarah perjuangan rakyat Palestin. Tetapi Presiden Umno, Mahathir Mohamad, malam itu berceramah tentang isu-isu yang lebih semasa sifatnya tentang perjuangan Islam sejagat dan tentang hubungan peribadinya sendiri yang mesra dengan Yasser Arafat.
Dan kini, berdasarkan imbasan kembali, kita juga lebih mengerti tentang apakah tujuan sebenar Mahathir yang beria-ia benar mengusahakan hubungan rapat dengan PAS dan menganjurkan perhimpunan itu khususnya.
Jelaslah kini bahawa tujuannya ialah untuk mempertingkatkan citra kepimpinannya sendiri sebagai kepimpinan yang kononnya mendapat sokongan padu komuniti Melayu-Islam di Malaysia, khususnya menjelang pertemuannya yang sudah diatur dengan Presiden Bush di Washington D.C.
Kepada orang Melayu yang menanggap Bush sebagai memusuhi Islam pertemuan itu ingin digambarkannya sebagai suatu usaha beraninya untuk mengemukakan keresahan umat Islam sedunia tentang isu Palestin. Sedangkan kepada Bush pula Mahathir ingin mengemukakan citra dirinya sebagai pemimpin yang mendapat sokongan padu dan mewakili khalayak umat Islam yang sederhana (yakni bukan pengganas).
Dari imbasan kembali juga, kita kini tahu bahawa pertemuan dengan Bush itu amat penting – merupakan semacam pengiktirafan yang amat diperlukan bagi kepimpinannya yang masih meluas dipersoalkan kredibilitinya di seluruh dunia, dan di kalangan orang Melayu sendiri, berikutan dengan tindakannya terhadap
Begitu pentingnya pertemuan dengan Bush itu bagi Mahathir, sehingga kita tahu kini bahawa kerajaan Malaysia, atau agennya, sanggup membayar berjuta-juta dolar kepada sebuah badan tangki pemikiran (think tank) dan badan lobi bagi mengaturkannya.
Namun ternyata bahawa segala usaha Mahathir itu samasekali tidak berhasil menyelamatkan kepimpinannya, sehingga dia terpaksa menarik diri daripada terus memimpin BN untuk pilihanraya tahun 2004 – dan
Secara umumnya, hubungan PAS-Umno telah menjadi semakin renggang berikutan naiknya
Namun demikian, dengan pelbagai poll, survey dan analisis, sejak akhir-akhir ini menunjukkan berlakunya kemerosotan besar dalam sokongan rakyat terhadap pemerintahan BN pimpinan Abdullah (khususnya di kalangan bukan Melayu), mungkinkah usaha Umno merapati PAS ini merupakan langkah desperate untuk menyelamatkan dirinya – seperti yang pernah dilakukan Mahathir dulu?
Dengan sokongan PAS, apakah Umno berharap akan dapat terus memperkukuh kedudukannya meskipun para penyokong parti-parti perkauman lain yang menjadi temannya (khususnya MCA dan MIC) telah berbondong-bondong lari meninggalkan parti-parti itu?
Jika itulah tujuan Umno, maka bagaimanakah pula sikap “berlapang dada” dan “hati terbuka” PAS terhadap overtures Umno itu dapat dihuraikan? Apakah usaha merapatkan hubungan ini dikira akan menyelamatkan kuasanya di Kelantan yang kini dapat dipertahankannya hanya dengan bergantung pada kelebihan satu kerusi cuma?
Jika itulah tujuannya, maka bagaimanakah kini “status” cita-cita politiknya terhadap beberapa negeri lain – Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, dan mungkin juga Selangor? Bagaimana pula “status” kerjasamanya dengan
Saya tidak begitu yakin gerak geri politik jenis ini ada hubungannya dengan cita-cita muluk jangka panjang – demi kepentingan masa depan masyarakat Melayu-Islam dan masa depan negara pada keseluruhan, misalnya.
Namun, jika sekalipun kerjasama ini memang mempunyai natijah muluk yang demikian, maka dari segi masanya pencetusan dan pelaksanaan inisiatif ini kini, bagi saya, cukup menarik – khususnya kerana kita sekarang berada pada ketika percaturan politik perkauman sedang memuncak lagi semarak.
Dengan inisiatif Hindraf melancarkan perhimpunan besar-besaran baru-baru, yang begitu tebal unsur dan nada perkaumannya, reaksi kelompok Melayu terhadap inisiatif itu juga kelihatannya bukanlah sekadar lantang tetapi amat nyaring pula nada perkaumannya – sebahagiannya kerana didorong dengan sedar oleh jentera spin Umno sendiri.
Apakah inisiatif PAS-Umno ini, jika benar ada sebagai yang didesas desuskan, merupakan inisiatif yang turut didorongkan oleh suasana dan nada politik perkauman tersebut, memandangkan bahawa PAS juga turut mempunyai semacam kritikannya terhadap Hindraf?
Jika demikianlah hakikatnya, maka apakah insiatif ini merupakan suatu gambaran tentang ciri dan citra percaturan politik perkauman negara ini untuk masa depan yang terdekat? Setelah inisiatif ini kelak, mungkinkah akan berlaku pula nanti inisiatif lain untuk menyatukan orang Cina yang melibatkan kerjasama MCA, DAP dan Gerakan?
Setelah itu, apakah akan terdapat pula kemungkinan MIC, MIUP (parti Nallakaruppan) dan Hindraf (pimpinan Uthayakumar) sendiri untuk duduk semeja bagi membincangkan masa depan politik kaum India di Malaysia?
Demikianlah, saya berpendapat bahawa inisiatif ke arah hubungan yang lebih rapat dan lebih mesra di antara PAS dan Umno ini merupakan suatu perkembangan yang amat menarik, meskipun perkembangan itu masih pada tahap desas desus sahaja. Sehubungan dengan desas desus itu, maka akan selalu timbul persoalan tentang apakah kesannya terhadap suasana dan struktur politik negara ini, selain apakah tujuan tersirat dan natijah tersurat inisiatif itu.
Selain itu, terdapat juga persoalan siapakah yang memperalatkan siapa dalam inisiatif tersebut – dan untuk tujuan apa inisiatif itu sebenarnya diusahakan? Demikianlah pengajaran yang dapat kita timba daripada inisiatif Mahathir berhubung isu “kesepaduan Melayu” ini pada tahun 1999-2002.













